Kali pertama suami memberitahu dia telah membeli motosikal berkuasa tinggi, terdetik rasa risau di dalam hati saya. Saya belum pasti apa tujuan suami membeli motosikal tersebut. Saya juga risau suami akan lebih banyak menghabiskan masa dengan hobi baru dan kawan-kawannya. Ternyata telahan saya salah apabila dia melibatkan saya dalam hobi motosikalnya. Kini, kami mempunyai lebih banyak masa berkualiti bersama.
Di awal perkahwinan, kerjaya dan pendidikan anak-anak menjadi keutamaan. Apabila anak-anak sudah besar, barulah kami ada masa untuk berjalan berduaan, makan berduaan dan enjoy each other’s company.
Dalam membesarkan anak, masa berlalu begitu pantas dan kadang-kala habis di hadapan television atau hand phone sahaja. Masing-masing sibuk dengan hal dan urusan sendiri dan masa untuk berbual-bual juga semakin berkurangan.
Jadi, pesanan untuk pasangan yang sudah berkahwin : Peruntukanlah masa untuk ber’dating’ dengan pasangan anda. Walaupun sibuk dengan urusan masing-masing, masa bersendirian dengan pasangan sebenarnya adalah momen penting dalam perkahwinan.
Mengapa meluangkan masa berkualiti bersama pasangan adalah sangat penting?
1) Hidup berpasangan adalah fitrah kehidupan
Kita dan pasangan kita saling memerlukan antara satu sama lain. Masa berkualiti bersama dapat memupuk perasaan kasih sayang, meluahkan perasaan dan menghilangkan stress. Ia juga dapat menyemarakkan kembali bunga-bunga cinta yang kian pudar berlalu dengan masa dan keadaan. Dalam waktu bersama, kita dan pasangan ada banyak ruang dan peluang untuk membaiki perhubungan agar kehidupan berumah tangga lebih intim.
2) Mengekalkan ketenangan dalam rumah tangga pada zaman ini adalah satu cabaran yang sangat hebat
Kita berlumba dengan masa, persekitaran dan faktor luaran dalam melaksanakan tanggungjawab harian kepada orang di sekeliling kita. Tekanan kerja dan kos kehidupan yang kian meningkat kadangkala mewujudkan ketegangan. Ketenangan dalam rumah tangga tidak akan wujud jika tiada usaha ke arahnya. Masa yang ada sewaktu bersama memberi ketenangan dan kemesraan dalam menjadikan hidup sejahtera dan harmoni. Apabila tabung emosi penuh persefahaman, rezeki juga mudah datang.
3) Contoh yang baik kepada anak-anak
Hubungan manis ibu bapa boleh memberi impak positif kepada anak-anak. Secara tidak langsung kita melahirkan generasi yang penyayang dan positif dalam kehidupan. Anak-anak akan merasa turut bahagia apabila melihat ibu bapa mempunyai hubungan yang mesra dan sentiasa bergurau-senda.
Bagaimana cara untuk meluangkan masa berkualiti bersama?
1) Jadikan masa berdua satu keutamaan
Mungkin sebulan sekali atau dua kali untuk keluar makan bersama tanpa anak. Terokai tempat makan yang baru dari kebiasaan. Senaraikan tempat-tempat makan yang anda teringin nak pergi dan ajak pasangan anda. Boleh sahaja mulakan dengan sarapan bersama di luar. Jika sukar, cukuplah dengan makan berdua di rumah ketika anak tidur atau ke sekolah. Zaman sekarang sudah ada GrabFood atau Food Panda dan sebagainya. Kalau susah hendak makan di luar, boleh order sahaja.
2) Rancang dan lakukan aktiviti kreatif berdua
Lakukan aktiviti yang memberi peluang berkomunikasi, dan melibatkan sentuhan. Jika pasangan ada hobi atau aktiviti kegemarannya, cuba sertai walau anda tidak meminatinya. Jangan biarkan pasangan melakukan aktiviti kegemarannya bersendirian. Bina kekuatan diri bersama pasangan.
Masa berkualiti tak semestinya perlukan aktiviti yang mahal dan berbelanja banyak untuk momen dan suasana bernilai. Aktiviti seharian seperti memasak, mengemas rumah bahkan menonton TV bersama-sama boleh menguatkan kasih sayang antara pasangan.
Saya teringat sebelum memiliki motorsikal yang ada sekarang, macam-macam hobi suami yang saya sertai walaupun sebenarnya saya tidak berminat. Dari hobi menternak ikan guppies, ikan discus, bermain drone, membela udang, saya akan di ajak untuk bersama dan dengan berat hati saya turutkan juga.
Kami keluar bersama ke pameran ikan, membeli makanan ikan atau menemani beliau ketika bermain drone dan sebagainya. Akhirnya, lama-kelamaan kita menjadi suka akan aktiviti tersebut dan menjadi topik perbualan apabila bersama.
Jika ada bajet yang lebih, pergilah melancong berdua-duaan dengan pasangan di dalam atau di luar negara mengikut kemampuan.Sentiasa rancang aktiviti baru bersama pasangan, walaupun sekadar berjogging, memanjat bukit bersama, berkayak atau memandu kereta dan pusing satu bandar bersama.
3) Raikan setiap tarikh istimewa pasangan
Apabila hadir tarikh-tarikh istimewa seperti hari ulang tahun perkahwinan, hari lahir pasangan, atau hari lahir diri sendiri, raikan bersama pasangan di tempat yang istimewa. Hargai pasangan seadanya. Jika tidak berpeluang untuk meraikan hari istimewa di luar, raikannya bersama di rumah sewaktu anak sudah tidur atau ke sekolah.
Usia bukanlah penghalang untuk kekal romantis bersama pasangan. Sentiasa tunjukkan kasih sayang di sepanjang perkahwinan kerana masa yang kita ada bersama pasangan adalah terhad. Pasangan kita adalah pasangan yang terbaik buat kita walaupun tidak sempurna.
Banyak lagi aktiviti mudah lain yang boleh dibuat bersama pasangan. Aktiviti yang dibuat bersama amat penting bila diamalkan kerana dapat menimbulkan emosi gembira dalam diri masing-masing. Luangkan masa dan hargai masa bersama yang ada sekarang. Semoga dengan usaha ini, rumah tangga sentiasa kekal bahagia hingga ke akhir hayat.