Bahang PRU15 kian terasa. Tidak lama lagi, rakyat Malaysia akan beramai-ramai keluar mengundi pada 19hb November 2022. Anak-anak mungkin sudah mula tertanya-tanya apa yang sedang berlaku. Jadi, ini adalah peluang untuk kita berbual dan mengetengahkan topik mengenai pilihanraya, hak mengundi dan demokrasi kepada mereka. Tambahan lagi, PRU15 ini adalah pilihanraya pertama di mana pengundi berumur 18 hingga 20 tahun layak mengundi.
Anak-anak kita adalah pewaris masa hadapan. Sebagai ibubapa, kita harus mendidik mereka menjadi rakyat yang cakna mengenai tanggungjawab sosial mereka demi masa hadapan yang lebih cerah.
Jika anda mempunyai anak remaja yang akan mengundi pada pilihanraya ini, kami ada kongsikan beberapa faktor yang perlu diambil kira:
Jika anda mempunyai anak-anak kecil, anda mungkin ragu-ragu jika topik ini sesuai untuk mereka. Fikir sekali lagi! Sebenarnya, ada beberapa cara yang boleh kita lakukan untuk mengenalkan topik ini kepada mereka:
1. Kenalkan konsep memilih dan mengundi melalui aktiviti bermain
Anda boleh kenalkan anak kepada konsep mengundi dengan menerangkan kepada mereka bahawa ia adalah satu cara untuk membuat keputusan. Berikan mereka peluang untuk mengundi perkara kegemaran mereka supaya mereka memahami undian mereka itu penting. Contohnya, ajak mereka untuk mengundi pilihan pencuci mulut untuk hari Isnin atau pilihan buku untuk dibaca pada malam itu.
Anda boleh mula mempraktikkan demokrasi di rumah dengan memilih pemenang majoriti jika sebarang ketidakpuasan hati berlaku.
Untuk anak yang lebih berusia, galakkan mereka untuk menerangkan mengapa ahli keluarga harus mengundi pilihan mereka. Terangkan pada anak bagaimana setiap undian sangat bermakna dan boleh menentukan keputusan akhir sama ada menang atau kalah.
Terangkan keputusan menggunakan konsep matematik
Gunakan kaedah matematik untuk menerangkan keputusan undian. Ambil dua bekas kosong dan isikan kertas undian ke dalam setiap bekas sambil mengenalkan konsep “lebih banyak” atau “lebih sedikit” kepada anak-anak kecil. Galakkan anak yang lebih berusia untuk menganalisa keputusan dengan mengira menggunakan kaedah matematik mudah (tolak dan tambah).
Ini adalah satu aktiviti menarik yang boleh dilakukan ketika berkumpul bersama-sama rakan-rakan atau ahli keluarga. Cara ini boleh memberikan pengalaman yang seakan-akan sama dengan proses pengundian formal.
2. Kaitkan dengan situasi sebenar
Setelah anak mula faham tentang konsep mengundi, anda boleh mula menjelaskan bagaimana kita sebagai rakyat perlu mengundi untuk memilih pemimpin negara. Mereka adalah pemimpin yang akan membuat keputusan yang boleh mempengaruhi kehidupan kita.
Pilih topik yang relevan dengan anak supaya mereka mudah untuk memahami. Contohnya, jika anak-anak mementingkan taman permainan dan rekreasi, pilihlah pemimpin yang komited untuk membangunkan kemudahan awam untuk masyarakat. Atau, jika anak-anak sayangkan haiwan dan kehidupan laut, mereka perlu memilih calon yang mementingkan kesejahteraan alam sekitar.
Ini boleh membantu mereka memahami bahawa polisi dan pilihan yang dibuat oleh pemimpin boleh memberikan kesan baik atau buruk kepada masyarakat dan kepada perkara yang bermakna untuk mereka.
Kongsi nilai murni dengan anak
Anda boleh berkongsi nilai murni dengan anak-anak dan bagaimana calon pilihan anda menyokongnya. Seperti kata Nancy L. Deustch, seorang Profesor Pendidikan di University of Virginia dan Direktor di Youth-Nex : “Bercakap tentang politik memberi peluang untuk kita berkongsi nilai murni dengan anak. Ini adalah suatu perkara yang baik.”
Sebagai satu contoh perbualan : “Keluarga kita mementingkan keadilan kaum, jadi calon ini mungkin boleh membela keadilan kaum di dalam negara ini”. Anda boleh teruskan dengan lebih lanjut mengenai polisi atau butiran lain, bergantung kepada umur anak anda.
Berikut adalah persoalan utama yang boleh digunakan untuk berbincang bersama-sama anak:
Bina keterujaan
Kemeriahan pilihanraya boleh dirasakan apabila sepanduk dan bendera kempen mula dipasang di sekeliling kita. Kongsi keterujaan ini dengan anak-anak dengan memerhatikan warna, parti dan simbol ketika dalam perjalanan dengan mereka. Anak-anak sentiasa memerhatikan gelagat ibubapa. Jika kita teruja, mereka pun akan turut sama merasakannya. Ini juga boleh membina sifat ingin tahu dan minat mereka tentang pilihanraya.
3. Hormati kepelbagaian pendapat
Melalui pengalaman bermain, anak kecil mula belajar bahawa setiap orang mempunyai pendapat dan kepercayaan yang berbeza-beza. Kita perlu memupuk mereka untuk menghormati kepelbagaian pendapat, dan memahami bahawa setiap orang berhak untuk mempunyai pendapat sendiri dan berkongsi tentangnya, walaupun ia berlainan dengan kita. Sifat saling menerima, hormat-menghormati dan bertimbang rasa adalah sifat yang perlu diamalkan sepanjang hayat.
Bercakap mengenai pilihanraya, terangkan kepada anak bahawa setiap calon akan mempunyai pelbagai pendapat yang berlainan, dan ia tidak mengapa. Semua orang mempunyai hak menyuarakan pendapat dan wajar berbincang secara sihat.
Kita mempunyai hak untuk memilih calon ketika pilihanraya. Terangkan bahawa sifat hormat-menghormati adalah salah satu perkara utama di dalam demokrasi, dan suatu hari nanti, giliran mereka pula untuk mengundi.
4. Tunjukkan contoh yang baik
Sudah tentunya, sebagai ibubapa kita perlu menjadi contoh yang baik dan tauladan kepada anak-anak. Beri ruang untuk anak-anak mendengar perbincangan kita mengenai calon dan polisi yang akan memberikan kesan kepada negara. Secara tidak sengaja, mereka akan dapat memahami kepentingan topik-topik itu.
Jika anda menjadi sukarelawan pilihanraya, kongsi dengan anak mengapa anda memilih untuk melakukannya. Tunjukkan pada anak bagaimana semua orang berusaha dan meluangkan masa untuk mengundi kerana ia sangat penting untuk masa depan negara.
Akhir kata, seperti yang dikongsikan oleh pelopor Curious Parenting, Clementine Foxglove : “Bercakap mengenai undian dengan anak-anak bukan sahaja melibatkan perbualan tentang pilihanraya. Sebenarnya, apa yang lebih penting ialah bagaimana kita respon dan reaksi kita kepada anak-anak setiap hari”
Oleh Elaine Yeoh (Diterjemah oleh Ayuni Ayatillah)