Sebuah akuarium kehidupan marin di Legoland mungkin berbunyi sedikit janggal kan? Namun, ia benar, SEA LIFE Malaysia akan dibuka di Legoland Malaysia, Iskandar Puteri tahun ini sebagai salah satu tarikan terbaru destinasi percutian popular di Johor Bahru itu.
SEA LIFE Malaysia menggunakan konsep penceritaaan dan pendekatan interaktif untuk menarik minat kanak-kanak terhadap lautan dan kehidupan marin melalui 11 pameran berkonsepkan habitat laut. Dengan cara ini, SEA LIFE Malaysia mahu memberikan inspirasi dan menanam rasa kecintaan terhadap kehidupan marin yang penuh dengan misteri dan keunikannya yang tersendiri.
Persediaan menerima 13 000 kehidupan marin
Baru-baru ini, kami di makchic Suri mendapat peluang untuk menyaksikan SEA LIFE Malaysia melaksanakan salah satu persediaan utama sebelum pelancaran, iaitu proses mengisi air di dalam Ocean Tank. Ocean Tank adalah binaan akuarium terbesar di SEA LIFE Malaysia yang akan mengandungi 400 000 gelen air setelah ia dipenuhi.
Setelah akuarium ini dipenuhi, pakar-pakar aquarist SEA LIFE akan bekerja keras untuk memastikan kualiti air dan kandungan garam sesuai untuk dihuni oleh kehidupan marin yang bakal tiba awal tahun ini. 13 000 kehidupan laut dijangka tiba ke habitat barunya, termasuklah jerung Black Tip Reef, jerung Zebra, ikan pari, kuda laut, obor-obor dan banyak lagi.
SEA LIFE Junior Rangers sebagai duta pemuliharaan kehidupan marin
Sebagai salah satu usaha pemuliharaan kehidupan marin, SEA LIFE Malaysia juga telah memilih sekumpulan duta muda SEA LIFE Junior Rangers yang akan menjadi suara kepada sanktuari marin itu. 18 kanak-kanak dari seluruh Malaysia dan Singapura telah dipilih berdasarkan video yang merakam rasa kecintaan dan komitmen mereka terhadap usaha pemuliharaan kehidupan marin. Mereka juga akan menjadi suara generasi baru dalam membantu memelihara kehidupan laut yang lestari.
Sepanjang satu tahun, SEA LIFE Junior Rangers akan melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti bertemakan pemuliharaan yang direka khas untuk mendidik dan memperkasakan mereka dengan ilmu pengetahuan yang boleh disampaikan kepada rakan-rakan sebaya.
Kami tidak sabar untuk melawat SEA LIFE Malaysia tahun ini. Kami juga teruja untuk melihat rekaan kapal karam LEGO Wanli di dalam tangki terbesarnya. Pasti mempesonakan!
Lawatan media ini adalah di bawah ihsan Legoland Malaysia.