Pengalaman melahirkan anak pertama yang penuh pengajaran

Beberapa bulan kebelakangan ini, sekurang- kurangnya lima orang kenalan dan ahli keluarga saya menyambut cahaya mata baru. Oh betapa ia mengusik naluri keibuan saya.  Terbau-bau enaknya mencium kulit halus bayi baru lahir dan menyiapkan pakaian comel yang dipilih setiap hari untuk insan istimewa ini.

Namun, apabila saya fikirkan semula, saya termenung panjang apabila menyedari bahawa kenangan manis melahirkan ketiga- tiga bayi saya hanya terhad kepada satu atau dua perkara sahaja! Apa yang disimpan di dalam memori saya sebagai seorang ibu rupanya sangat terhad dan saya memilih untuk ingat apa yang saya mahu ingat sahaja. 

Walaupun begitu, dalam kenangan- kenangan yang terhad ini, pengalaman kelahiran pertama adalah yang amat berbeza proses penyembuhannya berbanding kelahiran kedua dan ketiga. Jadi, saya ingin berkongsi  perbezaan- perbezaan ini.

Pentingnya persiapan mental dan fizikal

Proses penyembuhan selepas kelahiran pertama saya mengambil masa hampir sebulan. Saya hanya mengetahui bahawa saya perlu menjalani pembedahan c-section untuk kelahiran ini  pada hari sebelumnya. Tiada persiapan langsung dibuat, dan kami hanya sempat bertanya beberapa orang rakan yang berpengalaman melaluinya sahaja.

Bak kata orang, tiada yang dapat menyediakan diri kita seperti melaluinya sendiri. Proses bersalin berlaku pantas, kurang dari dua jam, saya telah ditolak keluar daripada bilik pembedahan dan bayi pun telah selamat dan selesa di bilik bayi. Saya masih belum merasai apa- apa di bahagian abdomen sehingga ke kaki kerana ubat anestetik masih bersisa.

Segalanya berubah pada keesokan hari apabila saya dipindahkan ke wad. Saya menangis pada waktu malam kerana mengalami sakit pinggang yang teramat sangat, dan saya begitu sukar untuk bergerak. Tidak terjangka di fikiran saya begitu sukar pergerakan saya dan kami ambil keputusan untuk tidak bermalam bersama- sama bayi di bilik.

Setelah pulang ke rumah, selama hampir 2 minggu saya memerlukan bantuan suami dan ahli keluarga untuk duduk dan berdiri, untuk menguruskan diri sendiri dan untuk menyusukan bayi. Ya , segala- galanya! Waktu berlalu begitu perlahan, dan saya sering menangis, bukan kerana sakit tetapi kerana berasa begitu lemah selama hampir 30 hari!

Daripada seorang wanita dan isteri yang aktif, berdikari dan cekap, saya terlantar di katil dan menunggu orang lain menguruskan saya dan bayi. Ternyata, pengalaman kelahiran yang di luar jangkaan amat memberi kesan mendalam kepada diri saya. Saya tidak sempat memahami mengapa saya alami apa yang saya alami!

Berbeza dengan kelahiran kedua, walaupun saya masih perlu melalui pembedahan c-section, segalanya berjalan lancar dengan perancangan rapi.

Kami bersepakat memilih tarikh pembedahan (sempena hari ulangtahun perkahwinan), mengambil pembantu rumah, mengkaji dan meneliti keperluan zat makanan untuk ibu selepas bersalin (sesuatu yang saya abaikan di kelahiran pertama), malah turut merancang menu makanan berzat untuk saya makan sepanjang tempoh berpantang.

Saya juga mempersiapkan diri saya dengan ilmu dan pengetahuan mengalami proses kelahiran c-section, proses penyembuhan, apa yang perlu saya jangkakan (expectations) dan bagaimana untuk mengahadapinya.

Ternyata persiapan mental dan fizikal ini memberikan kelainan yang positif kepada pengalaman bersalin dan proses penyembuhan selepas bersalin. Dalam tempoh dua minggu, saya sudah cergas dan boleh menguruskan bayi saya sendiri (walaupun ada pembantu rumah). Saya sudah boleh tahu apakah yang akan tubuh saya alami sepanjang proses berpantang berdasarkan pengalaman pada kelahiran pertama.

Sindrom baby blues boleh dicegah

Pada kelahiran pertama, saya masih ingat pada hari pertama saya pulang ke rumah, di saat kaum keluarga bergembira menyambut kelahiran cucu pertama mereka, saya masuk ke dalam bilik air dan menangis semahu- mahunya . Sungguh, saya tidak tahu mengapa!

Adakalanya apabila saya berseorangan dengan bayi dan saya merenung wajahnya yang bersih itu, saya dibanjiri emosi dan saya menangis lagi! Oleh kerana saya sendiri tidak faham punca saya menangis, saya tidak dapat mengadu kepada suami dan episod menangis tanpa sebab ini ternyata sangat memenatkan.

Walaupun kejadian ini tidak berlarutan (hanya pada 2 minggu pertama), saya masih lagi berasa cemas memikirkan apakah yang akan berlaku sekiranya fasa baby blues ini berlarutan dan bertukar menjadi post- partum depression?

Di kelahiran kedua dan ketiga, walaupun masih dengan proses pembedahan yang sama, saya langsung tidak mengalami fasa baby blues ini. Malah pada kelahiran ketiga, bayi saya perlu berada di wad selama beberapa malam sendirian bersama bayi, saya boleh menguruskan diri dan bayi dengan baik. I was my normal self and it was all sunshine and rainbow!

Selepas beberapa tahun berlalu, apa yang boleh saya simpulkan daripada pengalaman ini ialah, saya tidak boleh menerima dengan baik bahawa saya perlukan bantuan seratus peratus daripada orang lain kerana sudah biasa berdikari.

Bayangkan jika sampai ke tahap perlu diiring ke tandas, dan suami perlu menunggu di sebelah sehingga selesai urusan, ternyata memberi kesan kepada jiwa. Mungkin  ramai berkata, saya bertuah ada sokongan suami dan keluarga, tetapi emosi yang tidak stabil ketika itu memberi signal yang berbeza pula kepada diri saya, iaitu rasa gagal, tidak berguna dan menyusahkan orang lain saja!

Saya bertuah kerana keadaan menjadi semakin baik dan mudah pada kelahiran- kelahiran seterusnya, kerana saya belajar dari pengalaman saya dan menyedari kepentingan kesihatan postpartum (selepas beranak) kepada saya.

Tetapi saya tahu, tidak semua wanita di luar sana mengalami nasib yang sama. Di seluruh dunia, post partum depression menimpa 1 dalam 5 orang ibu pada kelahiran pertama dan masih ramai lagi yang belum ada maklumat dan kesedaran tentangnya terutamanya di Malaysia.

Bagi bakal- bakal ibu dan bapa di luar sana, ingatlah bahawa persiapan menyambut kelahiran bayi bukan hanya pada persiapan untuk bayi, tetapi persiapan untuk diri sendiri dalam bentuk ilmu menguruskan emosi dan perubahan fizikal ibu. Dapatkanlah juga maklumat pemakanan sihat dan zat yang ibu perlukan untuk proses pemulihan fizikal dan ketenangan fikiran, dan jangan lupa buatlah persiapan ini bersama- sama pasangan.

Scroll to Top