Disleksia adalah masalah pembelajaran kanak-kanak yang sering di salaherti. Antara label yang sering dikaitkan dengan disleksia adalah “lembap”, “tak pandai” ataupun “bodoh”. Lebih mengecewakan, kanak-kanak yang menghidapi disleksia mudah ketinggalan dalam pembelajaran atau tidak dihiraukan langsung oleh guru di tadika atau sekolah kerana mereka tidak dapat mengikuti kaedah pengajaran konvensional.
Maria Montessori,pengasas pendekatan pra-sekolah Montessori yang terkenal pernah menyatakan : “Kanak-kanak membina konsep kendiri melalui tanggapan yang di terima”. Jadi tidak hairanlah bahawa kanak-kanak yang diberikan “label” akan mengingati segala tanggapan negatif yang diterima untuk seumur hidup.
Salah tanggapan mengenai disleksia
Disleksia BUKAN:
Masalah pertuturan atau bahasa
Individu dengan disleksia tidak mengalami masalah artikulasi atau bercakap. Disleksia merupakan masalah neurologi yang membawa kesan kepada sebutan perkataan and ejaan.
Masalah tingkahlaku
Disleksia tidak sama dengan ADD atau ADHD. Namun demikian, pelajar disleksia mungkin tidak dapat memberi perhatian kepada pengajaran apabila kaedah konvensional digunakan untuk mengajar. Kaedah pengajaran yang sesuai dengan masalah yang dialami amat penting apabila mengajar pelajar dengan disleksia.
Masalah kurang motivasi
Disleksia adalah masalah neurologi, maka, ia tidak disebabkan faktor kekurangan motivasi. Kekurangan motivasi biasanya berlaku apabila mereka dilabelkan dengan kata-kata negatif atau dibandingkan dengan pelajar normal. Maka, mereka akan berasa kecil hati apabila ini berlaku.
Masalah emosi
Ia sama sekali bukanlah masalah emosi. Namun demikian, terdapat kajian yang mendapati bahawa terdapat hubungan di antara disleksia dan kemurungan pada peringkat remaja. Ini disebabkan oleh label negatif yang diberi oleh orang ramai, yang biasanya dialami sejak kanak-kanak. Akan tetapi, masalah emosi bukanlah punca disleksia.
Autisme atau Schizophrenia
Semua masalah pembelajaran tidak sama. Disleksia mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri. Orang ramai sering mengaitkan beberapa jenis masalah pembelajaran antara satu sama lain. Namun demikian, terdapat juga kes-kes yang dikenali sebagai “co-morbidity”. Ini berlaku apabila seseorang mengalami lebih dari satu masalah pembelajaran. Contohnya, individu dengan disleksia boleh juga mengalami mengalami ADHD.
Tidak pandai atau lembap
Seseorang dengan disleksia bukan lembap. Sebenarnya, IQ mereka adalah dalam lingkungkan normal ke tahap pintar cerdas. Di antara personaliti terkenal dengan disleksia adalah Walt Disney, Richard Branson, Jamie Oliver dan Albert Einstein.
Diakibatkan oleh pengajaran yang lemah atau isi pendapatan rumah yang rendah
Manusia sering menyalahkan situasi apabila sesuatu terjadi. Guru sering disalahkan apabila kanak-kanak tidak dapat membaca. Adakalanya pendapatan keluarga yang rendah juga disalahkan kerana keluarga yang tidak mampu menghantar anak ke kelas tambahan. Ini tidak benar sama sekali! Disleksia adalah masalah neurologi, di mana, fungsi otak adalah berlainan berbanding dengan otak biasa.
Gambar di atas menunjukkan 3 kawasan otak yang digunakan ketika membaca. Namun begitu, otak seseorang dengan disleksia, tidak berfungsi sebegini.
Gambarajah di atas pula membandingkan otak seseorang dengan disleksia (kiri) dengan otak normal (kanan) . Oleh kerana perbezaan ini, penghidap disleksia tidak dapat mengenalpasti dan menganalisis perkataan secara automatik.
Ciri-ciri disleksia:
1) Tidak dapat mengenalpasti perkataan yang mempunyai bunyi yang hampir sama (rhyming words)
Penghidap disleksia sukar untuk menganalisis perkataan. Maka, perkataan “saya” dan “maya” akan dilihat secara perkataan individu dan tidak berima. Mereka tidak dapat mengenalpasti suku kata “ya” yang sama dalam kedua-dua perkataan ini.
2) Cabaran dari segi nama dan bunyi huruf
Mengenalpasti huruf secara automatik adalah sukar, maka, mengenali nama huruf juga menjadi cabaran. Dari segi foniks, otak disleksia mempunyai kesukaran membunyikan atau menyebut perkataan yang dibaca.
3) Sukar membezakan perkataan yang rupanya hampir sama
Ini adalah ciri yang paling kerap dilihat dalam individu dengan disleksia. Kekeliruan dalam membezakan perkataan dengan rupa yang hampir sama. Ini juga merupakan salah satu tanda-tanda awal disleksia. Contohnya, membezakan huruf ‘b’ dan ‘d’.
4) Masalah dengan ejaan
Masalah mengeja sering kali akan menjadi cabaran sehingga ke peringkat dewasa. Namun begitu, dalam era digital kini, terdapat pelbagai perisian bantuan yang dapat membantu kanak-kanak dan orang dewasa untuk mengatasi masalah ini.
5) Sukar menyebut perkataan dengan ejaan yang unik
Oleh kerana foniks adalah sesuatu cabaran, maka perkataan dengan ejaan yang unik turut menjadi lebih susah. Contohnya perkataan “psikologi”. Huruf ‘p’ tidak dibunyikan. Maka, seseorang dengan disleksia mungkin akan tertanya, “Mengapa ‘p’ di sana sekiranya tidak disebut?”
6) Masalah dengan perkataan pelbagai suku kata
Perkataan yang mempunyai banyak suku kata turut menjadi satu cabaran untuk disebut.
7) Tidak lancar membaca disebabkan oleh kelemahan memahami perkataan
Oleh kerana seseorang dengan disleksia mempunyai kelemahan memahami perkataan, maka, kelancaran membaca turut menjadi lemah. Tetapi, sekiranya seseorang kanak-kanak telah menerima diagnosis yang sah, maka, dalam peperiksaan peringkat kebangsaan, mereka boleh mendapat masa tambahan dan alat bantuan membaca dan menulis.
Contohnya, ketika mengambil peperiksaan UPSR, PT3, SPM dan STPM. Ini memberikan peluang yang saksama kepada pelajar disleksia supaya kelemahan membaca tidak menghindari mereka daripada menjawab soalan dengan sebaiknya.
Bagaimana untuk mendapat diagnosis sah disleksia? Jumpalah pakar pediatrik untuk mendapatkan nasihat dan siasatan lanjutan. Biasanya, Doktor Pakar Perkembangan Kanak-Kanak atau Pakar Psikologi Kanak-Kanak adalah pakar yang sesuai untuk membuat penilaian dan memberi diagnosis yang sah.
Ingat, disleksia merupakan satu masalah pembelajaran, ia bukan suatu label. Oleh itu, intervensi awal amatlah penting.
Berikut adalah beberapa sumber bantuan atau sokongan disleksia di Malaysia:
Persatuan Disleksia Malaysia atau www.dyslexiamalaysia.org.my
Pertubuhan Sokongan IbuBapa Disleksia Malaysia(PSIDM)
Artikel ini pertama kali diterbitkan di www.makchic.com dan telah diterjemahkan ke Bahasa Malaysia.
Ditulis oleh: Desiree Kaur
Setelah 8 tahun menceburi bidang perhubungan awam, Desiree Kaur menubuhkan sebuah pusat tuisyen supaya dia boleh memulakan keluarganya sendiri. Selepas anaknya disahkan menghidapi autisme, dia mengambil keputusan untuk belajar membantu anaknya dengan lebih lagi. Dia kini sedang melanjutkan pelajaran di dalam bidang Ijazah Sarjana Pendidikan Khas.
Terjemahan oleh : Desiree Kaur