Proses kehamilan adalah pengalaman indah dan berharga buat si ibu. Namun, ia juga adalah satu masa yang penuh dengan kerisauan dan stress, apatah lagi dengan pelbagai pendapat dan mitos mengenai kehamilan.
Jom tengok mitos-mitos popular dan sejauh manakah kebenarannya.
Mitos 1 : Bentuk perut menunjukkan jantina bayi
Yang ini adalah antara yang paling popular. Jika perut rendah, ia bayi lelaki dan jika perut tinggi, ia adalah bayi perempuan. Walaupun ramai yang mengiakannya, para profesional dalam bidang kehamilan berkata ia adalah mitos yang tidak benar.
Menurut Eileen Beard, seorang penasihat di American College of Nurse-Midwives, perut seseorang ibu itu sebenarnya ditentukan oleh kekuatan ototnya, kedudukan bayi, bentuk badan ibu dan kadar kenaikan berat badan sepanjang kehamilan.
Mitos 2 : Selera dan keinginan ibu juga menunjukkan jantina bayi
Ramai yang percaya bahawa jika ibu mengidam makanan manis seperti kek, coklat dan makanan tenusu, ia bermakna bayinya adalah bayi perempuan. Jika dia mengidam makanan masin, pedas, berempah atau berprotein tinggi pula, bayinya adalah lelaki.
Ini adalah mitos yang juga sangat popular, namun sehingga kini tiada bukti saintifik yang mengaitkan tabiat mengidam dengan jantina bayi.
Mengidam atau ‘cravings’ ini mungkin terjadi kerana perubahan hormon dalam kehamilan, tanpa sebarang kaitan dengan bayi. Lagipun, gunakan saja ultrasound untuk mengetahui jantina bayi, kan senang?
Mitos 3 : Wanita hamil perlu makan untuk dua orang
Dr Irene Miguel-Aliaga, seorang penyelidik dari MRC Clinical Science Centre di Imperial telah mengatakan bahawa sistem penghadaman ibu sebenarnya sangat bersedia untuk kehamilan dan menanggung keperluan seorang bayi yang sedang membesar di dalam rahim. Jadi, makan untuk dua orang itu adalah tidak perlu sama sekali! Tambahan pula, sebenarnya tabiat makan untuk dua inilah yang membuatkan berat badan ibu naik terlalu banyak dan susah untuk diturunkan selepas bersalin.
Mitos 4 : Pengambilan kafein juga adalah tidak boleh sama sekali
Kebanyakan orang percaya bahawa pengambilan kafein ketika hamil boleh meningkatkan risiko keguguran, namun American College of Obstetricians and Gynecologists menyatakan bahawa pengambilan yang sedikit (kurang daripada 200mg sehari) adalah tidak membahayakan. Menurut pakar keguguran, pengambilan secawan atau dua cawan kopi ketika hamil adalah masih selamat.
Mitos 5 : Aktiviti seks, makan pedas/berempah atau berjalan kaki akan memulakan proses kelahiran
Ada pelbagai cara yang “semulajadi” untuk memulakan proses kelahiran terutamanya di minggu-minggu terakhir kehamilan. Sesetengah doktor mencadangkan hubungan seks kerana ia menghasilkan hormon prostaglandin dan oksitosin yang boleh memulakan proses kelahiran. Makan makanan berempah dan banyak berjalan kaki juga dikatakan boleh memulakan proses ini. Tiada sebarang kajian perubatan yang membuktikannya, jadi ia mungkin juga sebuah mitos. Tapi, tak salah untuk mencuba kan?
Mitos 6 : Mewarna rambut memberi kesan buruk kepada bayi
Ramai percaya bahawa pewarna rambut boleh membahayakan bayi kerana kandungan bahan kimia yang tinggi yang boleh meresap ke dalam kulit kepala ibu. Namun sebenarnya, sangat sedikit kuantiti bahan kimia ini yang diserap dan ia langsung tidak membahayakan. Jika masih risau, pilih opsyen pewarna yang lain seperti inai dan pewarna yang tidak kekal (lebih rendah kandungan bahan kimia).
Mitos 7: Makan minyak sapi untuk memudahkan kelahiran
Mungkin ada yang tidak berselera untuk makan minyak sapi, namun ia adalah salah satu makanan yang berkhasiat di dalam bidang perubatan Ayurvedic. Ia dipercayai boleh memulakan proses kelahiran tetapi tiada kajian perubatan yang membuktikannya. Minyak sapi adalah sejenis lemak tepu dan apabila diambil terlalu banyak, ia boleh membahayakan kesihatan dan menaikkan berat badan ibu.
Artikel ini pertama kali diterbitkan di www.makchic.com dan telah diterjemahkan ke Bahasa Malaysia.
Terjemahan dan olahan oleh : Ayuni A.