Tiada yang lebih merunsingkan daripada seorang anak yang menangis tak keruan, menumpahkan air dan makanan atau menggunakan sudu garfu sebagai alat muzik apabila anda sekeluarga cuba untuk meluangkan masa di restoran atau kedai makan.
Sebagai sebuah keluarga, waktu makan adalah waktu untuk sama-sama menikmati makanan yang lazat, di samping berbual dan bercerita untuk mengeratkan hubungan. Namun, kehadiran anak kecil selalunya menyukarkan keadaan, dan sebagai ibubapa kita tentu sentiasa mahu cuba lakukan yang terbaik untuk semua.
Saya dan suami sudah terlalu biasa makan di luar dengan anak lelaki kesayangan kami. Kami telah mencuba pelbagai perkara untuk mengelakkan dari memberi anak kami gajet semasa makan bersama-sama dan saya rasa kami sudah tahu jawapannya.
Bukannya kami anti-gajet sangat, tetapi kami memilih untuk cuba sedaya-upaya mengajar anak kami mengisi masa di restoran tanpa terlalu bergantung kepada gajet. Di sini saya senaraikan beberapa aktiviti yang telah kami cuba:
1. Eksplorasi Kiub Ais
Cara ini sangat mudah, terutamanya untuk anak yang masih kecil dan duduk di atas kerusi kanak-kanak (highchair). Anda hanya perlukan sebuah mangkuk plastik dan beberapa ketul ais, dan biarkan anak anda bermain dengannya. Kanak-kanak kecil sangat mudah leka dengan permainan ini, dan kesan paling teruk pun hanyalah sedikit air bertakung dari ais yang sedang mencair. Tetapi, anda perlu sentiasa memerhatikan mereka supaya ais tersebut tak dimakannya pula!
2. Kotak permainan ibu
Dalam beg tangan ibu memang akan sentiasa ada semua keperluan penting ketika keluar bersama anak-anak, seakan-akan ia sebuah beg ajaib. Jangan lupa masukkan juga sejenis dua permainan kegemaran anak supaya anda boleh gunakannya ketika anak mula merasa bosan. Sebagai contoh, kereta mainan, anak patung atau “teddy bear” atau blok seperti Lego. Sekurang-kurangnya anak anda mempunyai sesuatu untuk bermain sementara menunggu masa untuk makan.
3. Kertas, pensel dan krayon
Mudah tetapi berkesan! Kebanyakan restoran kini memberikan kertas mewarna dan pensel warna untuk kanak-kanak, namun bukan semua restoran ada menyediakannya. Jadi, bawa beberapa batang krayon atau pensel warna, kertas kosong atau buku nota kecil untuk anak anda bermain dan melukis semasa menunggu makanan. Anda boleh juga cuba bermain permainan menarik dengan mereka, contohnya permainan “Tic Tac Toe”, sambung titik atau “Hangman”. Ia memang seronok!
4. Beg permainan
Bukan mudah bermain Hotwheels di atas meja yang penuh dengan pinggan. Sediakan sebuah beg kecil yang dipenuhi dengan permainan pilihan anak anda, namun bincang dahulu apa yang boleh dan tidak boleh dibawa, bersesuaian dengan tempatnya. Anda tidak mahu anak anda membawa seluruh koleksi permainannya pula.
5. Buku
Selain daripada permainan, buku juga boleh membantu mengisi masa menunggu di restoran. Biar anak anda sendiri yang memilih buku untuk dibawa. Walaupun anda mungkin perlu membacakannya untuk anak-anak yang lebih kecil, aktiviti ini tetap menyeronokkan terutamanya apabila buku itu penuh dengan illustrasi dan mukasurat yang boleh dilipat. Anak-anak yang sudah pandai membaca pula tentunya terus leka membaca buku kegemaran mereka.
6. Permainan “I Spy”, Permainan Rima dan Ejaan
Permainan seperti ini adalah sangat “versatile” dan anda boleh melakukannya mengikut kreativiti. Untuk anak-anak kecil, cuba bermain “I Spy” atau “Cari warna” objek di sekeliling mereka. Atau, anda boleh juga bermain permainan berima dengan memberikan sepatah perkataan dan mengajak anak anda mencari dan menyebut nama objek yang sama rima dengannya. Permainan mengeja juga sangat menyeronokkan untuk kanak-kanak yang sudah pandai membaca.
7. Lego dan blok binaan
Anak kami Sachin kini sudah membesar dan dia seorang peminat tegar Lego. Jadi kami akan membawa sebekas Lego untuk dia bermain setiap kali keluar makan di restoran. Pastikan blok-blok Lego itu diletakkan di dalam bekas dan jangan biarkan anak menyelerakkannya di atas meja. Sebarang jenis permainan blok binaan yang senang dibawa juga adalah salah satu opsyen untuk anak anda.
Dengan cara ini, kebanyakan masa makan kami di luar adalah lebih mudah dengan anak kecil kami. Namun kadangkala kami juga tidak dapat lari daripada masa-masa yang sukar.
Saya percaya, apa yang penting ialah jika anak-anak kita dibiasakan dan diajar adab dan cara makan bersama-sama di luar, mereka akhirnya akan belajar menikmati masa makan bersama keluarga dengan penuh tertib.
Artikel ini pertama kali diterbitkan di www.makchic.com dan telah diterjemahkan ke Bahasa Malaysia.
Ditulis oleh: Annabelle Josef
Annabelle Josef ialah seorang gadis Kuala Lumpur yang berkahwin dengan lelaki terbaik yang pernah ditemui sepanjang hidupnya. Mereka kini tinggal bersama dua orang cahaya mata di Singapura. Masa beliau diselang-seli dengan menghantar anak-anak ke sekolah, ke kelas berenang, bermain bersama rakan-rakan dan menukar lampin. Anabelle suka mengembara dan bercita-cita menghabiskan larian maraton penuh. Beliau juga seorang penulis bebas, jurugambar amatur dan sedang menguasai seni menjadi seorang pembina Lego terunggul!
Terjemahan oleh : Ayuni A.