5 tips menguruskan emosi anak kerana perceraian atau kematian

Perceraian atau kematian pasangan hidup boleh di kategorikan sebagai tragedi dalam hidup pasangan yang berumah tangga. Bercakap tentang perceraian, tiada siapa di dalam dunia ini mahukan perkahwinan yang di bina di akhiri dengannya. Perceraian adalah jalan terakhir yang di ambil oleh setiap pasangan untuk menyelesaikan konflik dalam rumahtangga mereka.

Bukan mudah untuk memilih jalan ini, pelbagai aspek dan impak telah di fikirkan oleh pasangan, seperti penerimaan anak-anak, hubungan antara keluarga selepas perceraian atau pandangan masyarakat. Semua aspek ini telah di ambil kira oleh pasangan sebelum mereka nekad mahu meneruskan proses ini.

Berlainan pula dengan kematian. Di tinggalkan pasangan atas sebab kematian mungkin agak berbeza dengan perceraian. Ini kerana, kematian adalah sesuatu yang bukan di rancang atau boleh di elakkan.

Mungkin impak sedih, duka dan kemurungan yang di hadapi oleh pasangan adalah berbeza dengan pasangan yang bercerai hidup. Malah, impak yang di terima oleh anak-anak juga mungkin berbeza kerana jika di tinggalkan oleh ibu atau bapa atas sebab kematian bermakna mereka sudah tidak punya peluang untuk bersua muka lagi.

Walau apa pun sebab perpisahan, samada perceraian atau kematian, hidup tetap perlu di teruskan. Mungkin kita boleh bermurung, sedih atau meratap atas nasib yang menimpa diri. Jangan risau, ambil masa untuk melaluinya.

Namun, jangan lupa bahawa nak-anak turut merasa terkesan daripada perpisahan antara kita dan pasangan. Susah? Memang tidak di nafikan, itulah hakikatnya. Bayangkan tanggungjawab yang selama ini di kongsi berdua terpaksa di lakukan seorang diri. Namun, perancangan yang teratur dan komunikasi bersama anak akan membantu kita untuk mengharungi cabaran ini.

Di dalam artikel kali ini, jom kita berkongsi beberapa tips yang berguna untuk membantu menguruskan emosi anak melalui fasa yang mencabar ini.

1. Terangkan kepada anak-anak tentang keadaan sebenar antara anda dan pasangan

Cara penerangan adalah bergantung kepada umur anak-anak anda. Jika mereka masih terlalu kecil, gunakan bahasa yang mudah di fahami dan tidak terlalu kompleks atau serius. Ini kerana mereka masih kanak-kanak dan susah bagi mereka untuk memahami perkara-perakara yang berkaitan hati dan perasaan.

Cari bahasa atau cara yang ringkas dan mudah untuk bercerita dengan mereka. Sebagai contoh, anda mungkin boleh terangkan “Mommy dan daddy dah tak kawan lagi macam dulu, jadi mommy dan daddy dah tak boleh duduk satu rumah. Tapi mommy dan daddy tetap sayang kamu macam dahulu, tak pernah berkurang”.

 

Mungkin agak sukar, kerana lumrah kanak-kanak mereka akan banyak bertanya. Jadi bersabarlah, cuba untuk fahamkan mereka dengan bahasa mudah agar pemahaman dan penerimaan mereka terhadap apa yang terjadi selaras dengan perkembangan umur mereka.

Jika anak anda sudah mencecah umur remaja, pendekatan yang digunakan haruslah berbeza. Anda perlu menerangkan keadaan sebenar kepada mereka. Ini tidak bermakna anda perlu bercerita secara terperinci hingga terpaksa membuka aib kedua-dua belah pihak kepada anak anda.

Terangkan kepada mereka situasi anda seperti anda bercerita dengan orang dewasa. Duduk dan berbincang dengan mereka. Maklumkan pada mereka bahawa anda dan pasangan sudah berpisah. Mungkin anda boleh terangkan serba sedikit mengapa anda dan bekas pasangan memilih perceraian sebagai jalan yang terbaik, agar mereka faham serba sedikit.

2. Jangan sekali-kali memburukkan pasangan anda di hadapan anak-anak

Mungkin punca perceraian anda dan pasangan adalah sangat menyakitkan sehingga ada berasa tidak mahu lagi bercerita tentangnya.  Mungkin mendengar nama bekas pasangan juga cukup untuk membuatkan hati anda terluka kembali.

Namun, harus di ingat, krisis ini adalah antara anda dan bekas pasangan, jangan libatkan anak-anak di dalam perasaan ini sekali. Jangan sekali-kali menghasut anak-anak untuk membenci bekas pasangan hanya kerana anda terluka dengan perbuatan mereka. Ia memang sukar, tetapi berusahalah untuk tidak menanamkan perasaan benci dalam diri anak-anak terhadap pasangan anda.

3. Cuba untuk libatkan bekas pasangan dengan aktiviti anak-anak

Mungkin tidak dalam setiap aktiviti, tetapi aktiviti penting seperti sambutan hari lahir, acara sukan sekolah atau apa-apa aktiviti penting tahunan boleh dilakukan bersama bekas pasangan.

Melalui pemerhatian, kebanyakan anak-anak yang mempunyai ibubapa yang bercerai selalu merasakan diri mereka tidak sama seperti rakan-rakan lain. Kebanyakan mereka melihat rakan-rakan lain menyambut aktiviti tersebut bersama kedua ibubapa, tetapi mereka hanya meyambutnya dengan salah seorang daripadanya.

Jadi, cubalah untuk positif dan berusaha untuk mengembirakan hati anak-anak dengan bekerjasama untuk aktiviti-aktiviti penting mereka. Kadangkala, anak-anak tidak bercakap secara terus tentang kekecewaan mereka, namun kita sebagai ibubapa harus peka dengan keadaan ini.

4. Selalu duduk dan berbincang dengan anak-anak

Luangkan sedikit masa, mungkin sekali dalam seminggu untuk duduk dan berbincang dengan anak-anak tentang keadaan, emosi, perasaan sedih atau marah atau mungkin apa sahaja yang sedang mereka rasa dan lalui. Walaupun kadang kala kita merasakan anak-anak masih terlalu kecil untuk meluahkan perasaan mereka, namun percayalah, jika kena dengan cara pendekatan yang kita gunakan, mereka pasti berkongsi rasa dan perasaan mereka.

Luangkan masa bersama mereka untuk memahami apa yang mereka rasa terutama sekali di peringkat awal selepas perceraian. Ini sangat penting kerana jika kita terlalu leka melayan perasaan sedih tentang apa yang berlaku terhadap diri kita tanpa mengendahkan perasaan anak-anak, ada kemungkinan mereka akan memendam perasaan dan sampai satu masa mereka akan memberontak kerana sudah terlalu lama memendam rasa.

5. Ulangi sebanyak mungkin bahawa anda sayangkan mereka

Mungkin ini perkara normal namun kita sering terlepas pandang. Pastikan setiap hari, ucapkanlah betapa anda sayang kepada mereka walau apa pun yang terjadi. Jangan sekali-kali anda terbawa emosi sedih dan marah anda dengan menjadikan mereka sebagai mangsa. Peluk mereka, cium dahi mereka dan ucapkan lah rasa kasih dan sayang anda pada mereka.

Jangan lupa, walau apa pun perasaan anda pada bekas pasangan, namun di hadapan anak-anak, pastikan anda katakan yang bekas pasangan juga sayangkan mereka seperti mana anda sayangkan mereka. Ini sangat penting bagi membentuk jiwa mereka agar mereka tidak berasa menjadi mangsa atas perceraian yang berlaku.

Kesimpulannya, mungkin tidak mudah untuk mengharungi episod seperti ini dalam hidup seseorang. Namun, sentiasalah berdoa agar anda di beri kekuatan untuk menghadapi fasa ini dengan penuh positif.

Pastikan anak-anak juga tidak tercalar emosi mereka atas apa yang berlaku. Ingatlah, segala yang berlaku ini pasti ada hikmahnya. Kita harus sentiasa berdoa dan yakin dengan takdir hidup kita dan dengan izin Tuhan, segala apa yang kita usahakan pasti akan membuahkan hasil jika kita bersabar dan yakin dengan perancanganNya.

Scroll to Top