5 tempat sekitar Lembah Klang untuk dikunjungi bersama anak pada waktu malam

Bahang cuaca panas dan kelembapan siang hari di Malaysia boleh membunuh “mood” untuk sebarang aktiviti luar bersama keluarga. Jika anda sedang mencari peluang keluar di waktu petang atau malam yang lebih redup dan nyaman, kami ada beberapa cadangan di kawasan sekitar Lembah Klang.

1. Taman Tema I-City

Cahaya lampu gemerlapan pelbagai warna di I-City Shah Alam tentu akan menarik perhatian si kecil dan seisi keluarga. Taman tema ini dibuka bermula 5 petang tetapi keajaiban lampunya lebih menarik sejurus selepas matahari terbenam. Ada pelbagai tarikan di sini, seperti Mist Fountain dan Dancing Waters dan banyak permainan taman tema yang sesuai untuk pelbagai umur. Terdapat juga pelbagai pilihan tempat makan bergantung kepada selera masing-masing. Anda mungkin memerlukan masa yang panjang untuk mencuba kesemua tarikan di sini!

Informasi lebih lanjut di : http://themepark.i-city.my/

2.  Pasar Malam

Kredit foto : @kennychuastudio di Instagram

Pasar malam sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat Malaysia, jadi ia satu pilihan yang menarik untuk dilawati bersama keluarga di waktu petang atau malam. Kanak-kanak tentunya menggemari suasana meriah di pasar malam dengan pelbagai pilihan makanan “street food” dan jualan permainan murah. Apa kata anda cuba lawati pasar malam di SS2 pada setiap hari Isnin, pasar malam Taman Connaught setiap hari Rabu atau pasar malam Seksyen 3 Kota Damansara setiap hari Jumaat. Jangan lupa lawati pasar malam berdekatan rumah juga!

3. KLCC Lake Symphony

Terdapat 2 jenis pertunjukan air pancut berirama di dalam kawasan KLCC Park iaitu Lake Symphony Light dan Sound Water Fountain. Kedua-duanya menampilkan 150 program animasi pancutan air menakjubkan yang menggunakan efek air dan bunyi. Waktu pertunjukan adalah pada pukul 8 malam, 9 malam dan 10 malam setiap hari, namun cahaya gemerlapan lampu bermula setengah jam lebih awal untuk setiap pertunjukan. Pertunjukan ini adalah percuma dan dikelilingi kemeriahan Suria KLCC dan keindahan KLCC Park yang sentiasa penuh dengan ratusan pelawat!

4. 99 Wonderland Park

99 Wonderland Park di Tasik Sri Murni dibuka dari hari Rabu sehingga hari Ahad setiap minggu, bermula pada pukul 9 pagi sehingga 11 malam. Di sini terdapat pelbagai jenis tarikan seperti taman haiwan seperti Deer Yard, Duck Lagoon, dan Bird Square, beserta beberapa tarikan unik seperti T-Rex Ring, 12 Zodiac Zone, Golden Waterfall, and Sky Fountain.

5. Family Nocturnal Walk bersama Nature Education Centre, FRIM

Kredit foto : NEC di Facebook

Menerokai hutan FRIM, Kepong di waktu malam adalah satu pengalaman istimewa dan menarik untuk dilakukan bersama seisi keluarga. Melalui aktiviti ini, anda dan anak anda (umur minimum 7 tahun) akan belajar mengenai haiwan-haiwan nokturnal yang hanya keluar pada waktu malam. Aktiviti ini dianjurkan oleh Nature Education Centre (NEC) FRIM dan para pakar dari MNS SIG Herp Group. Namun begitu, setiap kumpulan biasanya hanya terhad kepada 15 orang dan aktiviti ini hanya dijalankan sekali-sekala. Ikuti NEC di Facebook atau Persatuan Pencinta Alam Malaysia untuk perkembangan aktiviti dan mendaftar untuk slot seterusnya.


Artikel ini pertama kali diterbitkan di www.makchic.com dan telah diterjemahkan ke Bahasa Malaysia.

Terjemahan oleh : Ayuni A.

Scroll to Top